Sunday, March 14, 2010

Kita Gaduh, Kita Rugi.

Aku terpanggil untuk tulis pasal apa yang selalunya berlaku ke atas kita sekarang ini, khususnya bangsa melayu dan beragama Islam. Kita selalu terdengar di berita tentang perebutan jawatan ataupun kuasa yang melibatkan dua "orang besar". Kadang-kadang, sehingga sampai ke satu tahap yang boleh mencetuskan huru-hara di seluruh negara. Pada masa yang sama, ketegangan antara kaum juga sengaja dicetuskan oleh pihak-pihak tertentu dengan memainkan isu-isu sensitif. Sedarkah kita bahawa semua pergolakan ini hanya akan merugikan diri kita sendiri, dan, pihak yang untung hanya orang luar atau orang asing yang sudah sedia maklum sentiasa mencemburui kedamaian dan kerukunan di antara kaum di Malaysia ini.

Selalunya, pergolakan yang tercetus hanya disebabkan oleh perkara-perkara yang kecil sahaja, ataupun perkara-perkara yang dianggap remeh dalam pandangan orang dewasa. Tetapi, ada pihak-pihak tertentu yang bertindak menjadi "amplifier" dengan membesar-besarkan hal yang kecil tadi. Tidak kurang juga ada di antara individu yang menjadi batu api ataupun pengadu domba bagi melaga-lagakan dua pihak. Inikah yang kita mahu?Inikah yang kita impikan dalam sebuah negara yang aman damai?

Kita ambil iktibar daripada kisah jiran tetangga kita iaitu Thailand. Warga Thailand tidak lama dahulu telah terpecah kepada dua golongan iaitu golongan yang pro-Thaksin dan golongan yang anti-Thaksin. Sebagaimana yang kebanyakan dari kita tahu, Thaksin Shinawatra merupakan bekas perdana menteri Thailand yang telah dibuang negara atas kesalahan memiliki harta secara haram. Maka, Apabila Thaksin telah dihukum sebegitu, maka, golongan pro-Thaksin ini telah bertindak menawan lapangan terbang Suvarnabhumi iaitu pintu masuk udara yang utama di Thailand. Selain itu, golongan anti-Thaksin juga ada melancarkan tunjuk perasaan di jalan-jalan utama di Thailand. Kedaan sebegini telah melumpuhkan sama sekali kegiatan ekonomi Thailand.

Dari segi sejarah pula, kita telah melihat bagaimana Kesultanan Melaka tumbang di tangan Portugis hanya disebabkan pergolakan dalaman di antara pembesar Melaka yang merebut seorang perempuan (aku dah tak ingat apa nama perempuan tu sebab dah lama tinggalkan subjek ni). Selain itu, kerajaan Islam terakhir iaitu kerajaan Uthmaniah juga tumbang disebabkan perkara yang sama.

Jadi, sebagai rakyat Malaysia, adakah kita inginkan perkara sebegini terjadi di sini? Di asia tenggara, hanya kita dan Singapura sahaja yang masih lagi aman dan tiada pergolakan yang serius. Hal ini sentiasa dicemburui oleh pihak luar yang sentiasa menunggu peluang untuk merampas kedamaian yang kita kecapi sekian lama. Renung-renungkan dan selamat beramal.

No comments:

Post a Comment