Monday, March 8, 2010

Doa Untuk DIA.

Bila ada masalah, biasanya kita akan mencari seseorang yang boleh dipercayai seperti kawan baik ataupun keluarga untuk menceritakan semua masalah. Tetapi, ada satu lagi cara yang mungkin terlepas pandang oleh kebanyakan daripada kita (termasuk aku) iaitu kita ceritakan kepada Pencipta kita.

Hal ini kerana, Dia lah yang mencipta kita, hanya Dia jugalah yang tahu segala kelemahan kita, apa yang kita fikirkan, apa yang kita risaukan. Analoginya seperti begini, katakan kita adalah seorang jurutera, maka, kerja kita adalah merekabentuk sebuah robot contohnya. Jika kita yang mereka robot tersebut, sudah tentu hanya kita yang tahu selok belok dalaman robot tersebut bukan? Selain itu, jika robot tersebut mempunyai masalah, kita sebagai pencipta robot itu juga yang tahu apa masalahnya dan cara untuk selesaikan masalah tersebut.

Begitu jugalah dengan Dia. Dia yang mencipta kita, maka, hanya Dia sahajalah yang mengetahui apa yang tersirat dalam hati kita, dan yang paling bagus, Dia tahu macam mana nak setel masalah kita tersebut. Baru-baru ini, aku mengalami pergolakan jiwa yang agak teruk kerana sedang dalam proses untuk mendapatkan kembali cinta daripada bekas teman wanita aku yang telah lama hilang. Dalam proses itu, aku selalu mempunyai syak wasangka terhadap si dia seperti "Bagaimana kalau dia berbaik semula dengan BF dia sekarang ini", "Dia dah lama tidak SMS aku, mesti dia sedang SMS dengan orang yang lebih penting dari aku sekarang" dan bermacam lagi lah.

Akibat daripada itu, aku hampir mengalami kemurungan dan hamoir menjejaskan persediaan aku untuk menghadapi ujian pertengahan semester baru-baru ini. Aku juga ada menceritakan masalah begini kepada rakan terdekat aku. Bukan hendak mengata, tetapi, aku seakan tidak puas menceritakan masalah aku kepada mereka. Ya, mereka adalah pendengar yang baik dan kadangkala mereka ada juga membuat sesuatu untuk menyedapkan hati aku dan aku amat menghargai usaha mereka, terima kasih. Namun, kadangkala, selepas mencurahkan segala masalah aku kepada mereka, pergolakan jiwa itu datang kembali.

Maka, aku mengambil langkah terakhir dengan menceritakan isi hati aku kepada Dia. Alhamdulillah, selepas itu, hati aku menjadi lebih tenang dan aku seakan-akan merasakan suatu kepuasan. Segala syak wasangka aku telah hilang sama sekali. Sekarang, aku nak fokus kepada projek Latihan Ilmiah aku tanpa perlu berfikir lagi tentang si dia yang ingin aku dapatkan itu. Lagipun, aku sudah berusaha sehabis baik untuk tujuan itu, maka aku hanya berserah kepada Dia. Jika jodoh aku dengan si dia sudah tertulis di Luh Mahfuz, maka, permudahkanlah urusan di antara aku dan dia dan jika sebaliknya, aku hanya meminta kepadaMu ya ALLAH, supaya jadikanlah aku di kalangan orang-orang yang redha. Amin

No comments:

Post a Comment