Thursday, February 25, 2010

Renungan Sempena Maulidur Rasul.

Tidak lama lagi kita akan menyambut hari keputeraan baginda Rasullulah SAW. Semua orang sibuk menyambut dengan melaungkan selawat dan salam ke atas baginda. Tidak kurang juga yang membuat perarakan di sekitar ibu kota. Aku menyukai suasana ini kerana hal ini menunjukkan yang kita masih lagi menyanyangi baginda Rasullulah SAW sebagai pembawa rahmat untuk seluruh alam.


Tetapi, adakah itu sudah cukup bagi kita untuk menunjukkan kesayangan kita terhadap Nabi Muhammad SAW? Adakah ini sudah cukup bagi kita untuk dibuat bekalan di akhirat nanti ketika bertemu Rasullulah SAW untuk mendapatkan syafaatnya? Bagi aku, setakat melaungkan selawat, berpanas dan berarak di jalanan membawa sepanduk masih lagi belum cukup.

Waktu baginda Rasullulah SAW hendak wafat, satu sahaja perkara yang terlintas di fikiran baginda iaitu keadaan umatnya selepas kewafatan baginda. Baginda amat risau jika umatnya akan kembali ke zaman kesesatan jika baginda wafat. Jadi, baginda hanya menyebut perkataan "Umati, umati, umati" sehingga baginda menghembuskan nafasnya yang terakhir.

Kita lihat keadaan 1400 tahun kemudian iaitu sekarang ini. Kes-kes seperti penzinaan, minum arak, berjudi, buang bayi, sumbang mahram dan sebagainya sudah selalu didengar dan dibaca di dada-dada akhbar, televisyen, dan radio hampir setiap hari. Apa yang sedihnya, kebanyakan yang terlibat dalam kes-kes sedemikian adalah orang Melayu yang beragama Islam. Jikalau hendak dikatakan Baginda Rasulullah tidak meninggalkan kitab untuk dijadikan petunjuk, habis Al Quran tu apa? Jika Baginda tidak meninggalkan hadis-hadis nya sebagai ikutan, tidak juga kerana banyak hadis daripada baginda yang dirakam oleh para sahabat dan perawi hadis seihngga sekarang. Jadi di manakah silapnya?

Sunnah Nabi sudah banyak yang kita tinggalkan sebenarnya. Kita ambil contoh yang paling asas seperti solat. Berapa ramai di antara kita yang solat wajibnya penuh lima waktu sehari semalam. Berapa ramai yang di antara kita yang bersolat dalam keadaan sempurna wudhuknya dan khusyuk.
Dari segi pemakanan, berapa ramai pula di antara kita yang makan dengan perlahan? Berapa ramai di antara kita yang makan dengan membaca kalimah Allah seperti Bismillah?

Sebenarnya, banyak lagi sunnah-sunnah yang pernah diamalkan oleh junjungan besar Rasullulah SAW biasanya dipandang enteng oleh kita pada zaman ini. Jika ada pun, ianya hanya digunakan bagi tujuan pemuas nafsu semata. Sebagai contoh, poligami juga pernah diamalkan oleh Rasulullah SAW. Tetapi poligami telah banyak disalahgunakan oleh kebanyakan lelaki pada zaman sekarang. Biasanya apabila si lelaki telah bosan dengan isteri pertama, beliau mulalah menggatal untuk menambah satu lagi cawangan. Hal ini akan menyebabkan timbulnya perasaan dendam di dalam isteri pertama tadi dan seterusnya akan menjejaskan keharmonian rumah tangga di mana hal ini tidak pernah wujud pada zaman Rasulullah. Ada juga si suami tidak berlaku adil di antara ister-isterinya. Si suami mungkin lebihkan kasih sayang terhadap isteri muda berbanding isteri-isteri lamanya sedangkan pada zaman Rasulullah tidak pernah berlau perkara sebegini. Inilah yang dimaksudkan dengan menggunakan sunnah Nabi bagi tujuan pemuas nafsu. Sebenarnya, ada banyak lagi contoh jika hendak bercakap tentang penyalahgunaan sunnah Nabi tetapi cukuplah aku ceritakan tentang contoh poligami itu.

Satu lagi, apakah tindakan kita jika ada pihak tertentu yang menghina secara terang-terangan Nabi kita?Kita sudah sedia maklum bahawa suatu ketika dahulu Denmark pernah mengeluarkan karikatur yang menghina keperibadian Nabi Muhammad SAW. Pada masa itu, apakah tindakan kita?Adakah kita cuma mendiamkan diri membiarkan perkara seperti itu berleluasa?

Kesimpulannya, aku ingin bertanya sekali lagi kepada diri sendiri dan para pembaca sekalian, adakah kita betul-betul sayangkan Nabi kita?Adakah kita betul-betul mahukan syafaat Nabi kita di hari akhirat kelak?

Mungkin perbuatan seperti melaungkan selawat ke atas Nabi kita dan berarak di tengah-tengah panas menjunjung nama Nabi kita dianggap sudah cukup bagi menzahirkan kecintaan terhadap Rasulullah oleh kebanyakan daripada kita. Tetapi kita jangan lupa bahawa dengan mengerjakan sunnahnya juga merupakan simbolik untuk kecintaan kita terhadap Baginda.

Selamat menyambut hari Maulidur Rasul~

2 comments:

  1. Renungan yg bagus nih. Aku rase budak2 skg xckup mengenali Rasulullah. Tah2 ade yg berarak tu xtau pon Maulidur Rasul ni ape. huhuhu

    ReplyDelete
  2. baguih ayil nie....da kembali ke jalan yg lurus =)
    alhamdullilah

    ReplyDelete