Thursday, February 25, 2010

Kisah Gadis Pekak Dan Bisu.

Hari ini aku baru sahaja pulang dari menikmati juadah yang berasaskan ayam di Hartz Chicken Sunway Piramid. Untuk pengetahuan anda, itu adalah kali pertama aku menjejakkan kaki di restoran sebegitu. Itu pun kerana rakan sekursus saya ada mempelawa untuk belanja saya dan beberapa orang rakan yang lain makan di sana. Sedang kami asyik berborak sambil menikmati juadah yang disediakan, datang seorang gadis cina yang pada hemat aku, berumur di antara 16 hingga 18 tahun. Tanpa bercakap sepatah kata pun, gadis tersebut telah menunjukkan satu kad yang tertulis beberapa ayat yang menceritakan bahawa gadis ini datang dari persatuan orang -orang pekak dan bisu yang ingin menjual beberapa barang cenderamata kononnya dibuat sendiri oleh orang-orang dari persatuan itu.

Gadis tersebut hanya menggerakkan tangan serta membuat mimik muka untuk berkomunikasi kononnya gadis tersebut adalah seorang buta dan pekak. Aku tidak melayan sangat gadis ini memandangkan aku tidak berminat untuk membeli barang-barang cenderamata yang dijual olehnya. Tetapi salah seorang rakan aku telah membelinya dengan harga sepuluh ringgit. Setelah menerima duit dan berjaya menjual cenderamatanya, aku lihat gadis tersebut membuat beberapa isyarat tanda terima kasih kepada kami lalu beredar dari situ.

Aku terus melihat gerak geri gadis tersebut yang menuju ke arah "pelanggan" seterusnya sambil membuat cara yang sama, iaitu membuat beberapa isyarat tangan untuk menjual barangannya. Aku teringat satu kisah yang pernah diceritakan oleh salah seorang rakan sekolahku ketika kami berjumpa untuk makan malam tidak lama dahulu. Kisahnya sama sahaja dengan apa yang aku alami sebentar tadi, dia didatangi oleh seorang perempuan yang mendakwa dirinya berada di bawah naungan persatuan orang-orang pekak dan bisu. Perempuan tersebut turut memberi isyarat untuk menjual barang yang merupakan cenderamata yang didakwanya dibuat sendiri oleh rakan-rakan yang senasib dengannya.

Kebetulan, rakan kepada rakan sekolahku ini yang turut serta minum bersama mengetahui cara untuk berkomunikasi dalam bahasa isyarat. Lalu, beliau pun turut membalas isyarat tangan oleh perempuan tadi. Beliau melihat mata perempuan tersebut terkebil-kebil dan teragak-agak untuk membalas kembali isyarat tangan yang dilakukan oleh rakan kepada rakan sekolahku tu. Tidak lama kemudian, perempuan tersbut beredar dari situ tanpa berjaya menjual barangan cenderamatanya.

Kembali kepada kisah aku sebentar tadi, aku mula merasa sangsi dengan gerak geri gadis cina tersebut yang kelihatan seolah-olah teragak-agak dalam membuat bahasa isyarat. Aku juga melihat mimik mukanya seperti menahan gelak. Masa itu, aku rasa nak "sound" saja dia "Kenapa kau tak cakap saja, aku dah tau dah yang kau ni boleh bercakap dan mendengar". Tapi, atas dasar kasihan,ataupun malas nak ambil peduli, aku membiarkan sahaja gadis itu menjalankan "aktivitinya" sehingga selesai.

Di sini aku ingin bertanya, betulkah Persatuan orang-orang cacat dan bisu membenarkan pelajar atau individu di bawah naungannya bebas menjual cenderamata di mana sahaja? Jika benar begitu, mengapa aku tidak nampak pun gadis tadi menunjukkan kad pengenalan ataupun kad pelajar yang menyatakan bahawa dia memang berada di bawah naungan persatuan itu? Dari segi pemakaian pula, aku lihat gadis tersebut hanya memakai blaus hijau serta jeans dan disertai beg sandang yang dikira terlalu santai. Mengapa dia tidak memakai tshirt yang ada tertulis logo ataupun nama persatuan yang didakwa menjadi naungannya? Lagi satu, jika benar gadis tersebut pekak dan bisu, berani pula dia menjual cenderamata seorang diri tanpa ditemani oleh seseorang yang boleh menemaninya, ataupun memimpinnya berjalan.

Semua ini bermain di kepala aku sehinggalah gadis itu menghilangkan diri dari pandangan aku.


No comments:

Post a Comment