Saturday, February 27, 2010

Hantaran Perkahwinan dan Zina ada perkaitannya.

Hari ini aku terbaca dua berita yang amat menyanyat hati. Berita pertama, kes seorang kanak-kanak berusia tiga tahun yang mati akibat didera oleh teman lelaki kepada ibu kandungnnya. Berita kedua, mayat bayi ditemui dalam keadaan mengerikan di dalam sebuah tangki air di sebuah sekolah memandu. Kedua-dua berita di atas ditayangkan sekali di Buletin Utama. Aku yang melihat berita itu merasa amat sedih dan kesal. Apalah sangat dosa bayi itu sehingga sanggup diperlakukan sebegitu?

Sebelum ini pun, negara pernah digemparkan dengan penemuan mayat seorang bayi yang telah rentung di dalam kawasan pembuangan sampah. Perkara sebegini pada aku hanya layak dilakukan oleh manusia yang tiada hati perut ataupun syaitan bertopengkan manusia. Sudahlah hari ini adalah hari keputeraan Nabi junjungan seluruh umat Islam di seluruh dunia iaitu Nabi Muhammad SAW. Adakah ini yang kita ingin tunjukkan di hadapan Rasullulah di hari akhirat nanti?

Kita kaji balik punca-punca yang membawa kepada permasalahan seperti ini. Pertama sekali, zina. Zina dalam erti kata lain membawa maksud bersetubuh tanpa ikatan perkahwinan yang sah. Hal ini selalu kita dengar samada melalui cakap-cakap mulut ataupun melalui dada-dada akhbar. Dalam seminggu, sekurang-kurangnya sekali kita akan dihidangkan dengan berita tentang penangkapan pasangan-pasangan yang bukan muhrim berkhalwat di hotel, rumah, dan sebagainya. Apa yang dikesalkan lagi, kebanyakan pasangan yang melakukan perbuatan terkutuk itu adalah pasangan Melayu yang beragama Islam. Pelbagai alasan yang dikemukakan antaranya sekadar berbincang tentang hal kerja, tidak mampu untuk berkahwin atas alasan mempunyai masalah kewangan dan sebagainya.

Bercakap tentang perkahwinan yang terhalang disebabkan masalah kewangan, sudah menjadi trend di kalangan kita untuk berkahwin yang disertai hantaran yang amat tinggi. Kita lihat sahaja perkahwinan kebanyakan artis-artis tempatan yang biasanya menelan belanja sebanyak enam angka sekurang-kurangnya. Secara automatiknya, trend sebegini akan diikuti oleh peminat. Islam sendiri tidak mengajar umatnya untuk menggunakan hantaran dalam perkahwinan, cukup dengan mas kahwin sahaja. Aku tengok, kebanyakan ibu bapa pihak perempuan akan meletakkan syarat hantaran yang amat tinggi bagi membolehkan si lelaki untuk menikahinya. Selalunya kita akan dengar ayat seperti ini, "Selagi kau tak ada at least RM 20 000, jangan harap lah kau nak kahwin dengan anak aku", ataupun ayat sebegini "Kerja kau macam ni ada hati nak kahwin dengan anak aku?Lupakan sajalah". Lihat, ini sahaja halangan yang merintang kemahuan pasangan yang ingin berkahwin.

Alasan yang biasanya digunakan oleh ibu bapa dalam meletakkan harga yang tinggi ialah perkahwinan itu hanya sekali seumur hidup, maka apa salahnya jika meletakkan harga yang tinggi sekali sekala. Alasan seterusnya ialah mungkin itu satu-satunya anak perempuan yang mereka ada, maka, bagi mereka adalah wajar untuk meletakkan hantaran yang tinggi.

Aku bukanlah seorang ahli agama atau alim ulamak, tapi pada pendapat aku, kebahagiaan sesuatu perkahwinan itu dinilai kepada sejauh mana rumahtangga itu bertahan. Dalam erti kata lain, semakin lama perkahwinan itu bertahan, maka, itu lebih bagus. Anda semua selalu terbaca tentang penceraian yang melibatkan artis-artis tempatan. Aku tidak mahu menyebutkan nama artis yang terbabit kerna kebanyakan anda semua sudah sedia maklum. Artis ini suatu masa dahulu pernah mengadakan upacara perkahwinan besar-besaran. Nilai hantaran tak payah ceritalah, enam angka punya figure, siap menjadikan kereta mewah sebagai salah satu hantaran. Tup-tup, tidak sampai lebih kurang dua tahun melayari alam rumah tangga, sudah bercerai. Seperti yang aku katakan tadi, trend ini sudah menjadi ikutan muda mudi pada zaman ini. Allah sendiri telah melarang keras umatnya dalam melampaui batas jika melakukan sesuatu perkara.

Aku tidaklah mengatakan bahawa pernikahan yang menggunakan belanja yang besar ini tidak berkat. Tidak sama sekali kerna soal keberkatan itu hanyalah terletak di tangan Yang Esa. Tetapi apa yang aku nak tekankan di sini, kesan lanjutan daripada trend sebegini akan menyebabkan pasangan yang tidak mampu untuk berkahwin pun akan membuat apa sahaja untuk melempiaskan nafsu syahwat mereka.

Maka, mereka terpaksalah mengadakan hubungan terlarang memandangkan mereka tidak mampu untuk berkahwin dan tidak mampu untuk membendung nafsu syahwat mereka. Seterusnya, jika kurang bernasib baik, si perempuan akan mengandungkan anak luar nikah. Lebih teruk lagi, pasangan ini berhasrat untuk membunuh sahaja anak yang tidak berdosa ini kerana takut dengan cemuhan yang bakal diterima daripada masyarakat.

Jadi, salah siapa?Adakah ini salah pasangan tersebut?Salah ibu bapa pihak perempuan kerana meletakkan hantaran yang terlalu tinggi untuk anak mereka?Ataupun salahkan nafsu kerana mendorong untuk melakukan perbuatan terkutuk seperti itu?

Fikirkan.

No comments:

Post a Comment