Thursday, February 25, 2010

Cinta Dan Duit

"Duit tidak akan dapat membeli cinta", "Cinta yang sejati tidak memerlukan duit". Dua ungkapan ini amat selalu diucapkan oleh pasangan yang sedang hangat bercinta. Kononnya bahawa cinta yang sejati itu tidak boleh dinilai dengan wang ringgit. Aku bukanlah seorang yang berjiwa materialistik mahupun sentimental, tetapi apa yang aku ingin kongsikan di sini ialah peranan yang dimainkan oleh duit dalam percintaan.

Jika kita menonton filem Kasim Selamat yang mengisahkan tentang percintaan di antara dua darjat (pemuzik dan anak hartawan) terhalang disebabkan perbezaan status. Watak Nyonya Mansoor yang amat membenci Kasim Selamat kerana statusnya sebagai pemuzik yang dianggap hina dan miskin serta tidak mampu untuk membahagiakan anak perempuannya, Sabariah Mansoor. Walaupun Nyonya Mansoor telah memilih seorang doktor untuk dijadikan suami bagi Sabariah, namun disebabkan cinta yang utuh di antara Sabariah dan Kassim Selamat, kedua-duanya berkeras untuk bersama lalu dikahwinkan oleh Nyonya Mansoor. Apa yang menariknya, selepas beberapa bulan berkahwin, duit yang dibekalkan oleh nyonya mansoor kepada pasangan itu susut sedikit demi sedikit sehingga habis. Maka, situasi ini menyebabkan Sabariah kembali ke pangkuan ibunya.

Dari kisah di atas, dapatlah disimpulkan bahawa duit juga memainkan peranan yang amat penting dalam sesebuah perhubungan terutamanya hubungan cinta. Jika kita lihat zaman sekarang, kebanyakan pasangan sanggup berkahwin walaupun status kewangan (biasanya si suami) tidak begitu kukuh. Biasanya alasan yang amat biasa digunakan ialah "Lebih baik mempercepatkan benda yang elok", "Jodoh sudah sampai" dan sebagainya. Mereka tidak tahu kah bahawa kesan jangka panjang akibat kewangan yang tidak kukuh akan menyebabkan "cinta" yang mereka agung-agungkan selama ini sedikit sebanyak akan berkurang lantaran si suami tidak mampu untuk menyediakan kehidupan yang selesa untuk si isteri.

Duit sewa rumah, kereta, duit makan, keperluan, serta makan pakai untuk anak adalah perkara yang perlu diberikan pertimbangan yang serius. Jika sewa rumah sudah lima bulan tertangguh, kereta kena tarik disebabkan lewat membayar ansurannya, makan makanan segera setiap hari serta keperluan untuk diri sendiri dan anak-anak sudah tidak terjaga lagi, adakah anda ingat cinta yang telah disemai sejak sekian lama akan bertahan?Tepuk dada tanyalah iman. Itu belum masuk lagi jika pasangan tersebut dikurniakan anak yang ramai, tentu lagi parah.

Aku bukanlah nak cakap duit itu segalanya, tetapi ianya sedikit sebanyak akan mempengaruhi kebahagiaan rumahtangga ataupun cinta bagi yang belum berkahwin.

Jika anda (lelaki) amat menyintai pasangan anda, apa yang anda perlu lakukan adalah dengan menyediakan kehidupan yang selesa untuk si dia. Saya percaya, kaum wanita juga akan mengharapkan satu kehidupan yang selesa (saya tidak cakap kehidupan mewah, tetapi sederhana dan selesa) apabila dia menjalinkan hubungan cinta ataupun berkahwin dengan anda. Tambahan pula jika pasangan anda itu adalah anak orang kaya, anak bangsawan mahupun kerabat diraja. Sudah tentu anda sebagai lelaki perlu berusaha lebih keras untuk memberi keselesaan kepadanya. Takkan selepas kahwin pun anda perlu mengharapkan bantuan kewangan daripada kedua orang tua anda juga. Mereka mungkin akan tolong anda, tetapi sampai bila mahu begitu?Mereka juga mempunyai perancangan tersendiri untuk hari tua mereka. Jika duit EPF, duit pencen mereka anda sudah kebas untuk keperluan rumahtangga anda, apalah yang tinggal untuk mereka. Tidak terfikirkah anda begitu?

Jadi saya sarankan kepada kaum lelaki yang ingin bercinta ataupun sedang bercinta, habiskan dulu belajar (bagi yang sedang belajar lah), dapatkan segulung ijazah, dan dapatkan kerja yang mempunyai gaji yang tetap supaya ini akan memudahkan anda untuk menyara si dia selepas bercinta atau berkahwin nanti. Soal cinta ketepikan dahulu. Jika si dia amat menyintai anda, sudah semestinya beliau sanggup menunggu anda habis belajar walau berapa lama sekalipun, betul tak? Percintaan akan menjadi lebih manis jika anda mendapat pekerjaan yang baik seperti jurutera, doktor, peguam, usahawan dan sebagainya. Aku bukan bermaksud pekerjaan seperti peniaga kecil-kecilan, pengutip sampah mahupun tukang kebun tidak layak untuk bercinta atau berkahwin kerna kecilnya gaji yang mereka perolehi, tetapi sebarang pekerjaan yang cukup untuk memberi keselesaan dan memenuhi keprluan asas adalah bagus. Aku cakap sekali lagi yang tidak semestinya kehidupan yang serba mewah perlu dicari tetapi cukuplah kehidupan yang sederhana tetapi selesa.

Ambil iktibar dari kisah Ibu Mertuaku dan jangan biarkan diri anda sebagai lelaki dianggap sebagai "perabis beras" oleh keluarga, baik dari keluarga anda sendiri mahupun keluarga mentua. Renung-renungkan dan selamat beramal.

1 comment: